Berita Utama

Hutan Bukit Cherakah: Kerajaan Selangor berisiko disaman RM1 bilion

Sekiranya tidak meneruskan siar warta status hutan simpan itu

PETALING JAYA, 16 Safar 1444H, Selasa – Kerajaan Selangor berdepan risiko disaman RM1 bilion oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah sekiranya tidak meneruskan siar warta status hutan simpan itu yang dinyahwartakan sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa perkara itu adalah susulan perjanjian yang dibuat kerajaan negeri terdahulu sebelum pentadbiran Pakatan Harapan.

“Saman disebabkan perjanjian itu (kerajaan terdahulu),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penerbitan buku mewah bertajuk Menelusuri Kisah Air Selangor di sini hari ini.

Pada 5 Sept lepas, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan negeri meneruskan siar warta untuk penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah, 5 Mei lepas bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

Beliau berkata syarikat berkenaan akan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini (kerajaan Selangor sebelum PH) sekiranya penyahwartaan tidak diteruskan.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini melancarkan penerbitan buku mewah atau ‘coffee table’ bertajuk Menelusuri Kisah Air Selangor yang merangkumkan perjalanan Air Selangor dalam industri perkhidmatan air, sempena ulang tahun ketiga penubuhannya pada September 2019.

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa pentadbiran kerajaan negeri di bawah Amirudin dilihat cuba lepas tangan daripada tanggungjawab di sebalik kontroversi pembangunan Bukit Cherakah, walaupun mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan pengisytiharan darurat alam sekitar bagi menangani impak banjir di kawasan berisiko banjir di negeri itu, Amirudin berkata pihaknya akan meneliti laporan dan data oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bersama Universiti Putra Malaysia yang dijangka siap pada penghujung tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button