Berita Utama

Ibu bapa perlu pantau buku kanak-kanak elak unsur LGBT

Semak kandungan buku khususnya dari luar negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Safar 1444H, Selasa – Seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila mendapati sebuah buku genre kanak-kanak yang dibelinya mengandungi elemen mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meskipun memaparkan perayaan umat Islam.

Pada awalnya, ibu berkenaan yang dihubungi Ismaweb.net berkata, dia berhasrat untuk mengumpul buku kanak-kanak jenis ‘lift the flap’ yang mengajar bahasa Inggeris mudah untuk diberikan kepada anaknya.

Apa yang menarik minatnya adalah antara koleksi buku itu turut berkongsikan perayaan disambut oleh seorang muslim.

Bagaimanapun, dia terkejut selepas dimaklumkan anak perempuannya bahawa buku yang diterbitkan dari luar negara itu memaparkan dua orang ibu dalam gambar salasilah keluarga.

“Marah pun ada sebab tak sangka dalam buku yang ada ‘highlight’ mengenai muslim seperti letak nama Muhammad dan sambut hari raya tiba-tiba ada unsur-unsur LGBTQ,” katanya, hari ini.

Ibu berkenaan memaklumkan bahawa dia membeli buku tersebut daripada penerbit yang mendapat bekalan buku dari luar negara.

“Kebiasannya saya akan semak kandungan melalui Youtube dahulu. Tapi sebab sudah lama mencari buku ini, saya lupa nak semak semula kandungan. Sebelum ini sudah ada buku yang ada unsur-unsur ini cuma saya tak beli,” katanya.

Sehubungan itu, wanita yang enggan namanya didedahkan menasihati ibu bapa supaya berhati-hati dengan sentiasa membelek kandungan buku, membaca setiap patah perkataan serta memberi amaran kepada pihak lain mengenai perkara itu.

“Ini belum lagi buku-buku berunsur seks dan lucah untuk remaja. Memang sangat banyak dekat kedai tapi ditutup dengan kulit gambar bunga atau kartun khususnya chic-lit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button