Berita UtamaDunia

Marvel tampil watak adiwira Israel, Sabra undang kecaman pro-Palestin

Pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin berlaku di kem Sabra pada tahun 1982

ANAHEIM, 16 Safar 1444H, Selasa – Seorang pelakon berbangsa Yahudi dilaporkan akan melakonkan watak adiwira negara haram Israel, Sabra dalam filem Marvel baharu yang akan datang.

Filem Captain America: New World Order yang ditetapkan untuk tayangan pada 3 Mei 2024, akan menampilkan pelakon Israel, Shira Haas sebagai Sabra, ketika pelakon itu didedahkan di Ekspo D23 Disney pada hari Sabtu di Anaheim.

Watak Sabra dikhabarkan mempunyai beberapa kuasa luar biasa dan merupakan ejen adiwira pertama yang berkhidmat dengan Mossad, Agensi Keselamatan Israel.

Menurut cerita Marvel, dia dilahirkan di luar Palestin yang diduduki Israel dan setelah kuasanya dizahirkan, ia dipindahkan ke kibbutz yang dikendalikan kerajaan untuk ‘mengasah’ kebolehannya di bawah pemerhatian kerajaan pendudukan Israel.  

Dia menggambarkan dirinya dalam kartun sebagai ‘wira-wira Israel’.

Sepanjang penampilan dalam pelbagai komik, lazimnya Sabra berpakaian dalam reka bentuk berdasarkan bendera Israel dan mempunyai senjata yang biasanya diberikan kepada anggota pasukan pendudukan Israel.

Berikutan pengenalan kontroversi itu, beberapa rakyat Palestin dan penyokong pro-Palestin di media sosial telah berhujah bahawa watak itu adalah contoh propaganda tentera Israel.

Pengguna media sosial menyatakan bahawa watak bernama ‘Sabra’ itu ‘menyinggung perasaan’ kerana pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin berlaku di kem Sabra dan Shatila di Beirut pada tahun 1982.

Berikutan pencerobohan Israel ke atas Lubnan, pendudukan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk kem, yang berlangsung selama tiga hari iaitu 16, 17 dan 18 September 1982, di mana sejumlah besar syuhada termasuk lelaki, kanak-kanak, wanita dan warga tua tidak bersenjata, kebanyakannya rakyat Palestin dibunuh dengan kejam.  

Beberapa rakyat Lubnan turut gugur semasa pembunuhan beramai-ramai, dan jumlah yang mati syahid dianggarkan antara 3,500 dan 5,000 daripada 20,000 orang yang tinggal di Sabra dan Shatila pada masa pembunuhan beramai-ramai.

Apa yang menimbulkan kemarahan rakyat Palestin dan penyokong pro-Palestin ialah masa pengumuman kemunculan watak Sabra begitu hampir dengan tarikh ulang tahun pembunuhan beramai-ramai itu.

Pengkritik juga mengkritik gambaran tidak sensitif terhadap rakyat Palestin di dalam komik bila mana watak Sabra muncul. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button