Berita Utama

Punca nahas helikopter di Bidor kini disiasat pihak berkuasa

Bedah siasat ke atas mangsa nahas telah dijalankan pada 9 pagi tadi

IPOH, 16 Safar 1444H, Selasa – Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan di kawasan kejadian helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus dekat Bidor pada Ahad, bagi mengenal pasti punca nahas mengorbankan juruterbang helikopter terbabit.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata justeru kawasan tersebut kini dikawal rapi bermula hari ini, dan bangkai helikopter ini kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.

“Bedah siasat ke atas mangsa nahas telah dijalankan pada 9 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Yusri berkata pihaknya dimaklumkan bahawa isteri mangsa masih berada di luar negara dan dijangka akan tiba dalam masa terdekat.

Media melaporkan mayat juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, warganegara Hong Kong ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit helikopter pada Isnin.

Pada Ahad, helikopter jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button