Berita Utama

Henti guna produk kosmetik ada racun berjadual: KKM

Notifikasi produk dibatalkan, tidak lagi dibenar jual di Malaysia

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin dan btamesthasone 17-valerate.

Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk mengandungi hydroquinone, tretinoin dan btamesthasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Beliau berkata, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti kemerahan pada kulit, iritasi dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa mudarat.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Sementara, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya, manakala syarikat melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turut daripada Google Play Store,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button