Dunia

Israel tangkap lebih 135,000 rakyat Palestin sejak Perjanjian Oslo

Tahanan didera fizikal, mental dengan layanan kejam

RAMALLAH, 17 Safar 1444H, Rabu – Pasukan pendudukan haram Israel telah menahan lebih 135,000 rakyat Palestin sejak Perjanjian Oslo ditandatangani pada 13 September 1993.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan (PAC) dalam kenyataan, pihak berkuasa Israel berterusan menahan rakyat Palestin dan gagal mematuhi peraturan membebaskan tahanan selaras dengan Perjanjian Oslo dan semua perjanjian berikutnya.

PAC menegaskan, kira-kira 20,000 kanak-kanak dan 2,500 wanita adalah antara lebih 135,000 orang Palestin yang ditahan daripada semua segmen masyarakat.

Separuh daripada ahli Majlis Perundangan Palestin (PLC) selain beberapa menteri, ratusan ahli akademik, wartawan serta kakitangan daripada masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa juga telah ditahan dalam tempoh ini, jelas PAC.

Menurut semua keterangan yang diperoleh, semua tahanan telah dikenakan satu atau lebih bentuk penyeksaan fizikal, psikologi dan layanan kejam.

Bagi membolehkan pihak berkuasa Israel menampung bilangan banduan yang sangat besar, PAC berkata, mereka membuka banyak penjara dan kemudahan tahanan baharu seperti penjara Ramon dan Gilboa, selain memperluaskan penjara Naqab.

Rejim Zionis juga meluluskan satu perundangan untuk menjejaskan isu tahanan serta mencemarkan status undang-undang.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button