Dunia

Kazakhstan bakal kembalikan nama Astana sebagai ibu negara

Tanda berpisah dengan legasi bekas Presiden Nursultan Nazarbayev

NUR SULTAN, 17 Safar 1444H, Rabu – Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev meluluskan cadangan untuk mengembalikan nama ibu negara itu kepada Astana.

Katanya, keputusan menukar kembali nama berkenaan adalah sebagai tanda baharu untuk berpisah dengan legasi bekas pemimpin lama negara itu, Presiden Nursultan Nazarbayev.

Bandar negara Asia Tengah yang dipenuhi bangunan pencakar langit itu dinamakan Nur Sultan pada Mac 2019, sebagai penghormatan kepada Nazarbayev.

Pemimpin berkuasa Nazarbayev memerintah bekas republik Soviet itu dari 1991, sebelum peletakan jawatan mengejut pada 2019 apabila penyokong setianya Tokayev mengambil alih.

Tokayev secara beransur-ansur menjauhkan diri daripada mentornya dengan melancarkan pembaharuan dan mengetepikan puak berpengaruh bekas presiden berkenaan.

Jurucakap presiden, Ruslan Zheldibay berkata, pindaan untuk mengembalikan semula nama ibu negara sebelum ini dimasukkan dalam draf undang-undang dengan kelulusan presiden.

“Presiden dimaklumkan mengenai inisiatif ini oleh timbalan menteri, yang seterusnya bergantung pada cadangan yang berulang kali dinyatakan semasa pertemuan dengan penduduk serta dalam banyak ucapan daripada rakyat ketika referendum.

“Pada masa sama, presiden melihat peranan penting Nursultan Nazarbayev dalam mengukuhkan negara moden Kazakhstan dan penubuhan ibu negara itu sebagai fakta sejarah.

“Oleh itu, mercu tanda lain yang dinamakan sempena presiden pertama akan mengekalkan nama mereka,” katanya.

Perpecahan antara Nazarbayev dan Tokayev menjadi lebih ketara sejak rusuhan maut pada Januari. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button