Berita Utama

Kukuhkan semula hubungan UMNO, PAS sempena ulang tahun MN

Suara akar umbi masih mahukan penyatuan tak wajar dipinggirkan: Khairuddin

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – Sempena ulang tahun ketiga penubuhan Muafakat Nasional (MN), pemimpin PAS dan UMNO perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan semula hubungan antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, gencatan senjata oleh ahli dan pimpinan dua parti Melayu Islam terbesar Malaysia itu amat ditagih.

“Kalau tidak mampu bersama setidaknya bersilaturrahim dan mengikat tali persaudaraan sebagai saudara muslim dan ahli politik muslim.

“Suara akar umbi yang mahukan penyatuan UMNO dan PAS tidak wajar dipinggirkan.

“Suara mahukan kesatuan dan perpaduan antara PAS dan UMNO juga berkumandang di Muktamar PAS khususnya sebagai strategi untuk menang bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Itulah suara akar umbi dan ahli bawahan. Itulah permintaan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairuddin bagaimanapun menyifatkan, hubungan antara pemimpin dua parti utama itu masih boleh diperbaiki biarpun dilihat sudah terlewat.

Katanya, perkara tersebut masih boleh diusahakan perundingan dengan cara politik matang dan harmoni.

“Usah mengalah kerana ia adalah hasrat ahli bawahan. Jaga tutur kata, elakkan prasangka dan bina jambatan kasih antara dua parti. Masih ada masa,” katanya.

Tanggal 14 September 2019 menjadi titik bersejarah apabila UMNO dan PAS memeterai piagam MN pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button