Berita Utama

Pakatan 27 kerusi Parlimen boleh rapatkan kembali UMNO-PAS

Langkah selamat PAS perlu guna logo, lambang sendiri

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – Jika UMNO dan PAS masih mahu meneruskan kerjasama politik dengan mengambil semangat Muafakat Nasional (MN), percubaan pakatan pilihan raya untuk 27 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang adalah langkah terbaik.

Ini kerana, kerjasama politik UMNO dan PAS dalam konteks 27 kerusi Parlimen ini boleh menjadi titik tolak kepada pemugaran semula MN dalam landskap politik negara.

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izani Mohd Zain berkata, kerjasama untuk 27 kerusi Parlimen ini boleh membuka langkah untuk memautkan kembali hubungan sudah renggang antara UMNO dan PAS.

“Namun, hal ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Bagi UMNO mungkin tiada isu besar, tetapi PAS perlu melepasi rintangan Bersatu jika mahu meneruskan pakatan pilihan raya ini.

“Tidak mustahil, jika pakatan pilihan raya ini berhasil, pertembungan UMNO/PAS dan PH (Pakatan Harapan) dijangka disusuli dengan kemunculan calon Bebas yang mahu merosakkan peluang kedua-dua pihak menang pada pilihan raya,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH), beliau berkata, jika kerjasama politik dua parti itu terlaksana, ia dijangka tidak memberi kesan kepada UMNO, sebaliknya PAS akan terus dicurigai rakan komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bersatu sejak awal lagi tidak mahu sekutunya iaitu PAS bekerjasama dengan UMNO, sebaliknya Bersatu lebih rela membuka jalan kerjasama dengan PH berbanding UMNO pada PRU15.

“Bersatu seperti ‘abang besar’ dalam PN (Perikatan Nasional) mahu mengawal tindak-tanduk PAS. Dalam hal ini, Bersatu memberi jaminan tiada rundingan rasmi PAS dengan UMNO bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Menurut Mohd Izani, Muafakat Nasional adalah simbol sebenar kekuatan politik Melayu menggabungkan dua parti politik Melayu-Islam terbesar di negara ini.

Malah, kekuatan politik UMNO dan PAS pernah menggegarkan politik negara suatu masa dahulu.

“Namun, sikap PAS yang juga mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PN meninggalkan MN jauh menjadi semakin tidak relevan.

“Langkah selamat adalah PAS perlu menggunakan logo dan lambang sendiri pada PRU15 jika mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO di 27 kawasan Parlimen yang membawa maksud, pakatan pilihan raya ini tiada kaitan dengan Bersatu.

“Kini bola tanggung diberikan kepada PAS,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button