Berita Utama

PAS Kelantan konsisten dan terbuka bekerjasama dengan UMNO

Semua demi jaga kepentingan ummah, elak PH kembali berkuasa

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – PAS Kelantan sentiasa mengamalkan sikap terbuka meneruskan kerjasama dengan UMNO di negeri ini dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keterbukaan PAS untuk teruskan kerjasama dan semuanya dilakukan demi menjaga kepentingan ummah selain terus kekal berkuasa.

“Walaupun UMNO telah menyuarakan untuk menamatkan hubungan namun kita perlu menilai dan pandang dalam konteks yang lebih luas dan semua ini dilakukan demi kepentingan ummah selain mengelak peluang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

“Kita perlu berjuang supaya dengan kekuatan dan kebersatuan ini mampu memberi peluang tipis untuk PH kembali berkuasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan parti itu masih menganggap UMNO sebagai Taa’wun terutama dalam membina negara yang diredai.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, di peringkat negeri, PAS masih konsisten dan terbuka serta kekal dengan prinsip sama.

Malah, katanya, PAS bersedia untuk mengadakan pertemuan dalam membincangkan perkara ini.

Beliau pada masa menggesa supaya UMNO membuat penilaian semula supaya keputusan yang diambil kini tidak merugikan semua pihak terutama generasi masa depan.

Katanya, parti-parti Melayu kini diserang pelbagai penjuru namun dalam usaha ke arah mendepani perkara ini hanya boleh di atasi dengan memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama sesama umat Islam.

“Tidak nafi ada pihak yang tidak ‘gembira’ di atas penyatuan terutama Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk selama ini, jadi gangguan itu perlu diabaikan dan dikukuhkan semula dengan penyatuan demi masa depan negara ummah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button