Berita Utama

Pembubaran Parlimen perlu perbincangan semua parti politik

‘Perlu sedar kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan’

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – Pembubaran Parlimen wajar dibincangkan bersama semua parti-parti politik yang terlibat dalam membentuk gabungan dalam kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara berkenaan perlu diutamakan sebelum mendapat persetujuan Kabinet dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malah, katanya, perbincangan berkenaan dilihat penting supaya mengelakkan berlakunya pertembungan ketika pembahagian kerusi.

“Kesilapan dalam isu berkenaan akan memberi kesan kepada penyatuan ummah yang telah dicapai sebelum ini.

“Kita perlu sedar bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak dan kegagalan penyatuan ummah hanya akan merugikan dan menguntungkan pihak lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan mengadakan pertemuan bersama lima pimpinan tertinggi UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.

Perbincangan itu turut melibatkan rakan komponen UMNO yang lain dalam gabungan Barisan Nasional seperti parti MCA dan MIC.

Mohd Redzuan pada masa sama mengingatkan kerajaan supaya mengutamakan soal kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara walaupun kalut untuk memberi tumpuan kepada politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button