Berita Utama

Pusat sembelihan ayam di Cheras beroperasi kotor, abai kebersihan

Ayam mentah yang diproses diletak di lantai sahaja

BANGI, 17 Safar 1444H, Rabu – Menjijikkan! Itu yang kelihatan di sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras yang beroperasi dalam keadaan terlalu kotor.

Malah, lantai dan dinding di ruang pemprosesan penyembelihan ayam dalam premis berkenaan berada dalam keadaan berkarat, berlumut serta berdaki hitam.

Operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam mendapati, premis itu melakukan pelbagai kesalahan dengan pengabaian aspek kebersihan.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi pemeriksaan bersama 21 anggota yang dijalankan kira-kira 1 pagi itu mendapati aspek kebersihan dan kesihatan diabaikan terus.

Semua pekerjanya juga tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana kebanyakan merupakan warga asing.

“Premis itu juga tiada penapisan sisa efluen atau air terawat malah sisa tersebut termasuk sisa fizikal dan darah tanpa dirawat akan terus dialirkan ke saliran dan longkang awam,

“Keadaan ayam mentah yang diproses juga diletakkan di lantai sahaja.

“Kita turut dapati tandas di premis itu kotor dan ia juga tiada kelengkapan asas,” katanya, hari ini.

Hasil operasi berkenaan, dua kompaun mengikut UUK 23(3)(b)-UUKPPM (WPKL) 2016 dan Seksyen 47 (1)(d)-AJP&B 1974 dikeluarkan.

“Amaran dan nasihat berhubung kehendak-kehendak kesihatan yang perlu dipatuhi dan diterangkan kepada pelesen dan pekerja premis.

“Notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 dikeluarkan bagi tujuan pembersihan dan penambahbaikan berkuat kuasa serta-merta hingga pemeriksaan susulan akan dijalankan,”katanya.

Dalam masa sama, Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mengambil sampel air untuk dianalisa dan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button