Dunia

Rakyat Afghanistan tuntut Taliban buka sekolah untuk perempuan

Lebih setahun memerintah hak pendidikan dinafikan

KABUL, 17 Safar 1444H, Rabu – Ribuan rakyat Afghanistan memulakan kempen dalam talian membantah keputusan Taliban menutup sekolah menengah untuk pelajar perempuan di negara itu.

Kempen itu turut menggesa kerajaan Taliban membuka semula bilik darjah yang telah ditutup selama lebih setahun.

Pendidikan kanak-kanak perempuan ditangguhkan walaupun pihak berkuasa mendakwa rancangan ke arah itu sedang dibangunkan.

Awal bulan ini, empat sekolah perempuan di wilayah Paktia, Afghanistan menyambung semula sesi kelas selepas disyorkan oleh pengetua dan pemimpin setempat meskipun tanpa kebenaran rasmi daripada kerajaan Taliban.

Pihak berkuasa menutup sekolah itu beberapa hari kemudian, yang membawa kepada protes diketuai pelajar pada hujung minggu.

Warga Afghanistan dari seluruh negara telah menggunakan media sosial untuk memprotes kemunduran dalam pendidikan kanak-kanak perempuan, dan merayu Taliban membenarkan mereka mendapatkan semula hak itu.

Di Facebook dan Twitter, rakyat Afghanistan mengharapkan suara mereka didengari oleh kerajaan baharu itu.

Pelbagai tanda pagar solidariti dilancarkan di media sosial seperti ‘kami mahu anak perempuan kami ke sekolah’ dan ‘sekolah untuk semua’ bagi mempromosikan tujuan mereka.

Lebih setahun selepas Taliban kembali berkuasan dan tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) berundur, negara itu menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk dengan ekonomi merudum.

Menurut Tabung Kanan-Kanak PBB (UNICEF), dianggarkan tiga juta pelajar perempuan di Afghanistan telah dinafikan hak bersekolah selama lebih setahun.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button