Berita Utama

Tiada masalah Najib dapatkan bekalan ubat sendiri: KJ

Jika tidak mahu terima ubat dibekalkan Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR, 17 Safar 1444H, Rabu – Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membeli bekalan ubat sendiri dari sumber luar jika tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada ahli keluarga bekas perdana menteri itu.

“Tetapi saya difahamkan di penjara pun memang Datuk Seri Najib bawa bekalan ubat dia sendiri. Jadi kita pun tidak ada masalah kalau dia nak bawa bekalan ubat itu dan saya difahamkan dia memang dah bawa dah ke HKL (Hospital Kuala Lumpur), dia boleh guna sahaja bekalan ubat dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan IHH Healthcare Malaysia di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas laporan media yang memetik peguam Datuk Zaid Ibrahim menggesa Kementerian Kesihatan memberikan Najib ubat yang bekas perdana menteri itu selalu gunakan untuk penyakit darah tingginya.

Khairy berkata beliau telah menyemak peraturan penjara iaitu pihak penjara akan memeriksa terlebih dahulu bekalan ubat yang dibeli keluarga banduan sebelum diberikan kepada banduan terbabit.

“Dan di HKL saya maklumkan kepada pengarah, kita amalkan benda yang sama. Kalau di penjara dia boleh gunakan ubat dia, bila bekalan tu dah sampai dia gunalah, jadi tak timbul yang kita menafikan dia (pengambilan ubat yang dimahukan).

“Pada hari itu sebelum dia dibenarkan keluar wad, amalan biasa hospital kerajaan sebelum kita benarkan pesakit keluar dari wad kita akan hantar dia balik dengan bekalan ubat yang dikeluarkan farmasi hospital, jadi ubat dari farmasi hospital kami di kementerian ini ialah ubat generik,” katanya.

Semalam, Khairy memaklumkan keadaan kesihatan Najib yang dimasukkan ke HKL pada Isnin adalah stabil dan bekas perdana menteri itu akan terus menerima rawatan di hospital berkenaan.

Terdahulu Khairy berkata MoU yang ditandatangani pada majlis itu merupakan perjanjian bersejarah kerana tidak pernah dibuat dalam skala besar iaitu melibatkan 500 pesakit kanser daripada hospital kerajaan yang dipilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta terlibat menggunakan fasiliti mereka.

“Ini (program berkenaan) ditaja sepenuh oleh pihak IHH dan kita tengok dulu kejayaan program ini dan sekiranya kita nak melanjutkan program ini bolehlah kita bincang kemudia, sama ada kita bayar sedikit ataupun ada elemen tajaan dan sebagainya.

“Ini adalah langkah yang sangat-sangat berkesan untuk memperkenalkan teknologi terkini dan rawatan menggunakan teknologi terkini kepada pakar daripada kementerian dan kepada pesakit kanser yang dirawat di fasilit Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu IHH Healthcare Berhad (IHH) melalui anak syarikat milik penuhnya Pantai Medical Centre Sdn Bhd (IHH Healthcare Malaysia) dalam kenyataan berkata MoU yang ditandatangani hari ini adalah untuk melanjutkan penjagaan dan rawatan pesakit kanser di Malaysia melalui rangkaiannya yang terdiri daripada Hospital Pantai, Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.

Menurutnya IHH Healthcare Malaysia akan menaja sepenuhnya radioterapi dan radiosurgeri untuk 500 pesakit kanser yang menjalani rawatan di hospital kerajaan, dengan pesakit yang dikenal pasti dan dirujuk oleh Kementerian Kesihatan serta pakar yang ditetapkan mereka, akan menerima rawatan di tujuh hospital IHH Healthcare Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk merawat kanser. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button