Berita UtamaDunia

Angka kematian banjir di Pakistan cecah hampir 1,500

Pihak berkuasa berusaha tingkatkan usaha bantuan mangsa terjejas

ISLAMABAD, 18 Safar 1444H, Khamis – Banjir di Pakistan yang tidak pernah berlaku sebelum ini menenggelamkan sebahagian besar kawasan negara Asia Selatan itu dan mengakibatkan hampir 1,500 orang terbunuh.

Ketika ini pihak berkuasa berusaha meningkatkan bantuan untuk jutaan mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Banjir yang dibawa hujan monsun dan pencairan glasier di pergunungan utara menjejaskan 33 juta daripada 220 juta penduduk negara itu, merosakkan rumah, pengangkutan, tanaman dan ternakan dengan kerugian dianggarkan AS$30 bilion.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara ketika mengeluarkan jumlah pertama di seluruh negara sejak 9 September – tempoh yang menyaksikan 90 lagi orang maut – berkata, kira-kira 1,486 orang dilaporkan terkorban dengan 530 kanak-kanak dalam kalangan itu.

Sejak beberapa minggu lalu, pihak berkuasa membuat halangan air banjir memasuki struktur utama seperti stesen janakuasa serta rumah, manakala petani cuba menyelamatkan haiwan ternakan mereka yang menghadapi ancaman baharu apabila makanan ternakan mula kehabisan.

Kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan perubahan iklim sebagai punca kenaikan paras air, berikutan suhu musim panas yang tinggi, mendorong ribuan orang meninggalkan rumah untuk tinggal di dalam khemah atau di sepanjang lebuh raya di kawasan terbuka.

Pakistan menerima 391 milimeter hujan atau hampir 190 peratus lebih daripada purata 30 tahun, pada bulan Julai dan Ogos.

Angka itu meningkat kepada 466 peratus bagi salah satu kawasan yang paling teruk terjejas, wilayah selatan Sindh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button