Berita Utama

Banjir: Pastikan barang keperluan mencukupi

Ini termasuklah dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik

PUTRAJAYA, 18 Safar 1444H, Khamis – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hari ini mahu bekalan barangan keperluan di negeri-negeri dijangka terjejas banjir dipastikan mencukupi, serta tidak memberi kesan yang ketara terhadap harga barang-barang tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta kementerian berkaitan perlulah memastikan bekalan barangan keperluan di negeri-negeri dijangka terjejas banjir mencukupi.

Nanta yang mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu hari ini berkata Nadma, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan kementeriannya sendiri pula, perlu memastikan harga barang keperluan di negeri tersebut tidak meningkat.

Beliau berkata persiapan menghadapi banjir dibuat selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menghadapi monsun timur laut (MTL).

“Ini termasuklah dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri tersebut seperti ROVR bekalan petrol, diesel dan sebagainya,” katanya.

Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan MTL 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button