Berita Utama

BERJASA tawar pentas politik untuk anak muda jadi MP, ADUN

Ketengahkan calon wibawa dengan pelbagai kepakaran

BANGI, 18 Safar 1444H, Khamis – Parti BERJASA memiliki kelebihan besar berbanding parti-parti utama lain dalam membawa aspirasi anak muda termasuk 1.2 juta pengundi 18 tahun yang didaftar secara automatik sebagai pemilih.

Setiausaha Agungnya, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad yakin identiti, agenda dan penampilan BERJASA yang segar, selain membawa aspirasi anak muda terutama dalam aspek ekonomi, teknologi serta pendidikan akan menjadi tarikan utama.

Meskipun dilihat sebagai sebuah parti baharu, beliau berkata, kepimpinan BERJASA yang disertai dan dipimpin golongan anak muda profesional daripada pelbagai latar belakang menonjolkan kelainan berbanding parti utama lain yang dianggap sudah tamat tempoh.

“Calon-calon yang akan ditampilkan BERJASA juga akan terdiri daripada anak-anak muda yang berwibawa dengan pelbagai jenis kepakaran bagi membangunkan negara yang unggul dan bermaruah. 

“Ini sukar dilakukan oleh parti-parti utama lain disebabkan budaya ‘seniority’ atau birokrasi dalam parti mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Lukman berkata, rata-rata anak muda sudah muak serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara sedia ada, dan ‘vacuum’ itu yang akan diisi oleh BERJASA sebagai sebuah parti baharu dan muda.

Beliau mengakui pelaksanaan Undi18 akan memberi kesan signifikan terhadap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan pertambahan bilangan pengundi yang layak mengundi, termasuk daripada pendaftaran automatik.

“Menurut data SPR, 5.8 juta pemilih baharu akan ditambah kepada daftar pemilih semasa iaitu 15.3 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pemilih 21.1 juta.

“Daripada jumlah tersebut, 1.2 juta adalah mereka yang berumur antara 18 hingga 21, manakala selebihnya berumur 21 tahun ke atas tidak berdaftar.

“Ini bermakna 58 peratus pengundi dalam PRU15 nanti adalah golongan anak muda,” katanya.

Atas dasar itu, BERJASA menawarkan pentas politik baharu untuk disertai anak muda yang berminat menjadi ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penggerak politik atau sekadar menjadi ahli di dalam parti.

“Tawaran ini terbuka kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira bangsa, latar belakang pendidikan, status ekonomi mahupun lokasi tempat tinggal.

“Negara ini kita perlu pimpin bersama. Perubahan harus berlaku sekarang dan kita semualah ejennya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button