Berita Utama

BSD buka ruang hakim interpretasi ikut kecenderungan sendiri

Mahkamah Sivil boleh campur tangan dalam urusan Mahkamah Syariah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 18 Safar 1444H, Khamis – Doktrin Struktur Asas (BSD) – yang diceduk dari India – mula diperkenalkan pada 2017 dan 2018 tidak sepatutnya diguna pakai di mahkamah kerana hanya membuka ruang kepada hakim menginterpretasi mengikut pandangan serta kecenderungan sendiri.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, Perlembagaan mengikut Perkara 160 dan Perkara 161 – mengiktiraf apa yang berlaku sebelum ini, namun mahkamah tidak mengambil kira perkara berkenaan.

“Sebab itu ia menjadi terbuka kepada hakim-hakim untuk interpretasi. Pada saya BSD ini tidak patut dipakai sebelum 2017-2018 dan ditolak oleh ramai hakim yang agung, kerana membuka ruang kepada hakim mengintepretasi mengikut pandangan dan kecenderungan sendiri.

“Ini juga tidak sesuai dalam menginterpretasi Mahkamah Sivil lagi tinggi dari Mahkamah Syariah dan saya lihat argument ini tidak lagi dihujahkan dengan seluas-luasnya.

“Kita perlu lihat sejarah. Apabila ini berlaku, itulah permasalahan walaupun tiada kaitan dengan BSD, Mahkamah Sivil boleh campur tangan dalam urusan Mahkamah Syariah,” katanya.

Merujuk kes kes Indra Ghandi, Lukman menjelaskan, kita seolah dinafikan hak untuk menaik taraf Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil.

Ini kerana, ia tidak melihat sejarah yang berlaku pada 1988 di mana Perlembagaan dipinda untuk menaik taraf Mahkamah Syariah.

Kehakiman sebaliknya terus mengambil kira adanya prinsip doktrin dalam struktur asas dan memutuskan Mahkamah Sivil lebih tinggi kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

“Dan apa yang saya tidak setuju dalam kes Indira Gandhi, ia menggunakan dan melihat sejarah. Jadi sebelum menentukan apakah ‘basic structure’, ia melihat kes-kes luar negara yang dikata dari India, tapi lihat juga di Kanada.

“Dia menghuraikan bahawa prinsip-prinsipnya constitutionalisme antara lain mengatakan bahawa human rights, protection minority.

“Selepas itu, dia melihat apa peruntukan sedia ada. Dalam melihat peruntukan sedia ada, apa yang mahkamah buat ialah melihat Perlembagaan kita,” katanya dalam temubual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Jelas Lukman lagi, di dalam Perlembagaan negara termaktub Mahkamah Sivil sementara Mahkamah Syariah tidak disebut.

Katanya, Mahkamah Syariah hanya boleh wujud apabila negeri meluluskan undang-undang, maka dengan itu ia memutuskan bahawa Mahkamah Sivil adalah tinggi daripada Mahkamah Syariah.

“Ini rentetan BSD. Adakah ini tepat? Pada saya tidak kerana ia tidak mengambil kira beberapa faktor. Basic structure ini kena ikut sejarah, ketentuan hakim.

“Dan ketentuan hakim pada masa itu saya lihat dia tidak mengambil kira Mahkamah Syariah wujud sudah lama.

“Mungkin dikatakan mahkamah ini wujud selepas undang-undang negeri digubal, kadang-kadang negeri meluluskan undang-undang mahkamah Syariah pada 1960-an, tetapi sementara itu kes-kes masih berjalan,” katanya.

TONTON PENUH DIMENSI DI SINI;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button