Berita Utama

‘Dalam PH ada bersikap anti-Islam, fanatik benci Melayu’

Elak mudarat politik lebih besar punca PAS tolak PH

BANGI, 18 Safar 1444H, Khamis – Demi mengelakkan mudarat politik lebih besar, PAS menolak bersama Pakatan Harapan (PH) walaupun dijemput menyertai pakatan itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penolakan itu kerana PAS mempunyai pengalaman paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

“Secara tegas, PAS menolak mudarat politik yang memberikan akibat lebih besar dan parah kepada negara sehingga merobohkan asas, mematahkan cabang penting termasuk hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa ramai dalam kalangan PH tidak beraqidah dan bermoral (berakhlak) kerana secara terbuka dengan mengumpulkan kumpulan pemberi dan penerima rasuah.

Malah, dalam PH juga terkumpul kalangan bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi agama rasmi.

Bahkan, terdapat kalangan PH fanatik bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa mempedulikan hak terhadap agama lain dan kaum yang sudah mencukupi.

Atas dasar itu, PAS tetap mempertahankan hak Melayu, Bumiputera dan Islam, termasuk bahasa menjadi teras kepimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

“Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” kata Abdul Hadi.

Pada masa sama, PAS juga menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.

Lebih malang, PH tidak menunaikan manifesto seperti janji menghapuskan tol, menangguh bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain, yang dilihat sebagai penipuan dan pembohongan yang menghilangkan sifat (adil).

“Pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman cukup matang kepada PAS untuk mengenali lebih dekat cubaan menghalang perjuangan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button