Rakyat dambakan ahli politik wibawa
Idealisme pemimpin tangani masalah rakyat sangat penting

BANGI, 18 Safar 1444H, Khamis – Rakyat perlu manfaatkan sebaik mungkin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memilih pemimpin dan parti yang layak menjadi kerajaan.
Tindakan itu perlu supaya agenda pemulihan negara dari sudut politik, tadbir urus dan integriti dapat diteruskan, kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali.
“Hari ini, rakyat Malaysia sangat mendambakan kesungguhan ahli politik menangani masalah mereka.
“Malaysia memiliki ramai tokoh berwibawa dan sudah sampai masa idea, kesungguhan serta iltizam ahli politik dibentangkan kepada rakyat bagi memperoleh kemakmuran bersama,” katanya.
Menulis dalam ruangan rencana di Berita Harian, beliau percaya, rakyat keseluruhannya mengharapkan ada pemimpin berwibawa dan komited menyelesaikan masalah rakyat serta seterusnya memberi sinar kehidupan baharu kepada mereka.
Sehubungan itu katanya, idealisme setiap ahli politik di dalam menangani masalah rakyat sangat penting kerana idea itu akan dinilai rakyat.
“Ia antara bentuk bagaimana ahli politik dapat meyakinkan rakyat bahawa idea mereka mampu membawa kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia.
“Rakyat pasti memberikan sokongan penuh jika idea berkenaan dapat membebaskan mereka daripada pelbagai kemelut berlaku ketika ini menerusi kaedah terbaik.
“Untuk itu, setiap keputusan atau kaedah menyelesaikan isu dan masalah rakyat perlu dikemukakan dengan bijaksana bagi menampakkan ketokohan serta kepemimpinan ahli politik menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kesungguhan ahli politik menguruskan masalah negara – ekonomi dan politik amat penting bagi menjamin ia dapat memberikan keselesaan terhadap kehidupan rakyat.
Justeru, setiap ahli politik perlu mengembalikan keyakinan rakyat dalam aspek pengurusan dan pentadbiran negara yang baik, menyelesaikan kos sara hidup, mewujudkan keamanan dan perpaduan kaum dan pendapatan relevan.
“Selain itu, rakyat berharap pemimpin menjadi kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan berdaya saing, kemudahan infrastruktur terbaik, peningkatan instrumen pelaburan dan kadar pulangan tinggi, keberhasilan ekonomi negara positif, pemberian subsidi tersusun dan berkesan kepada kumpulan sasar,” katanya.
Pautan asal artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/09/1000103/pemimpin-berwibawa-bantu-proses-pemulihan-negara-walaupun-berbeza