Berita UtamaDunia

Nyawa tahanan Palestin dalam bahaya

Kematian Khalil Awawdeh bakal semarakkan lagi krisis

BAITULMAQDIS, 27 Muharam 1444H, Khamis – Tahanan Palestin yang melakukan mogok lapar selama lebih 160 hari sebagai protes terhadap penahanannya oleh rejim pengganas Israel akan meninggal dunia pada bila-bila masa.

Tentera Israel menangkap Khalil Awawdeh, 40, pada Disember 2021 dan sejak itu menahannya tanpa tuduhan atau perbicaraan, satu amalan yang dikenali sebagai penahanan pentadbiran.

Israel memberikan sedikit butiran mengenai tuduhan yang dihadapi Awawdeh.

Seorang jurucakap tentera Israel berkata, penahanannya telah disahkan beberapa kali oleh mahkamah tentera dan telah ditentukan bahawa bahan sulit dalam kesnya menunjukkan bahawa pembebasannya akan mengancam keselamatan kawasan berkenaan.

Pada bulan Mac, Awawdeh melancarkan mogok lapar menuntut kebebasannya.

Dia hanya hidup dengan meminum air sejak itu, kata peguam, Ahlam Haddad.

Pengantara Mesir baru-baru ini mendesak pembebasan Awawdeh di bawah perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran selama tiga hari di Gaza antara Israel dan kumpulan Jihad Islam.

Sumber keselamatan Mesir yang tidak mahu namanya disiarkan pada Rabu berkata, Mesir membentangkan senarai tahanan, termasuk Awawdeh, kepada pegawai Israel dan Israel berjanji untuk menelitinya, sambil menyatakan keraguan pada beberapa nama.

Dengan tentera Israel melakukan operasi hampir setiap hari terhadap kumpulan yang disyaki di Tebing Barat, kematian Awawdeh bakal menyemarakkan lagi krisis yang telah meningkat selama berbulan-bulan.

Awawdeh baru-baru ini dipindahkan dari Penjara Ramle ke hospital Asaf Harofeh di Israel kerana kesihatannya yang lemah.

Jumaat lalu, tentera Israel menggantung sementara perintah penahanan pentadbiran terhadap Awawdeh kerana keadaannya semakin merosot.

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan meninggalkan hospital, kata jurucakap tentera.

Keluarga Awawdeh – yang tinggal berhampiran bandar Hebron – Tebing Barat yang diduduki, setakat ini telah ditolak kebenaran untuk melawatnya oleh Israel, namun menyokong keputusannya untuk meneruskan mogok lapar

“Dia ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

“Sama seperti dia ditahan secara paksa dan diambil daripada kami, dia akan menuntut kebebasannya sama ada pendudukan bersetuju ataupun tidak,” kata isterinya, Dalal Awawdeh. – Agensi

Pautan berkaitan

Israel beku sementara tempoh tahanan Khalil Awawdeh

Israel beku sementara tempoh tahanan Khalil Awawdeh


https://ismaweb.net/2022/08/18/dipenjara-tanpa-bicara-4-tahanan-palestin-terus-mogok-lapar/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button