Berita Utama

Ada ‘malaun’ UMNO buat gerakan sulit jodohkan BN dan PN selepas PRU15

“Cukup-cukuplah duk kejar dan gila talak dengan MN serta UMNO”: Nur Jazlan

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1444H, Jumaat – “Ada dua tiga kerat ‘malaun’ dalam UMNO sedang buat gerakan sulit bersama ‘walaun’ PAS untuk jodohkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” demikian dakwa Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, kumpulan ini cuba melemahkan UMNO dari dalam dengan harapan mereka dapat mempengaruhi barisan kepimpinan UMNO-BN supaya menerima PN sebagai rakan kerjasama politik di masa depan.

Malah, Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu mendakwa, mereka juga sanggup menerima ‘katak-katak politik’ bekas UMNO dari Bersatu dan cuba membuat taktik ‘reverse takeover BN’.

“Tindakan mereka terutamanya malaun dalam UMNO ini jelas membelakangkan parti di mana gerakan usaha sama merentasi sempadan hingga ke Borneo dipercayai dilakukan secara gelap dan demi kepentingan kuasa serta peribadi saja.

“Mereka juga dikatakan cuba untuk meminang GPS supaya menerima projek ‘Trans PN-BN-Borneo’ bagi menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU15.

“Tapi dengar ceritanya GPS pun tolak dan tak setuju dengan pinangan tak masuk akal kumpulan malaun dan walaun ini, sebab GPS lebih cerdik serta tahu usaha sama pintu belakang ini tetap tak membantu tertubuhnya sebuah kerajaan yang stabil,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mendakwa, PAS masih tergila-gilakan Muafakat Nasional (MN) dan mahu bersama UMNO kerana mereka mula sedar PN dan Bersatu sudah tidak kuat. 

“PAS tahu jika mereka hanya bersama PN, peluang mereka untuk menang banyak kerusi pada PRU15 amat tipis dan mereka tak ada peluang lagi untuk jadi menteri serta dapat kemewahan yang dikecapi hari ini.

“Jadi saya nak pesan pada PAS …cukup-cukuplah duk kejar dan gila talak dengan MN serta UMNO. Cubalah faham bahasa sikit, UMNO dah gerak solo dan tak perlukan lagi pasangan, jadi PAS tak payah lagi nak terhegeh-hegeh dengan MN.

“Baik Abdul Hadi dan PAS tumpukan saja buat kerja macam mana nak pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

“Sebab saya dengar pun PAS sudah mula ‘kenaling’ di Kelantan sebab orang Kelantan sudah muak dengan PAS. Sampai hasil hutan pun sudah habis tapi rakyat Kelantan tak rasa pun nikmat pembangunan yang diusahakan kerajaan PAS,” dakwanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ahli dalam UMNO yang masih cuba nak bekerjasama dengan PAS dalam MN agar menghentikannya.

“Berhentilah daripada buat kerja sia-sia tu. Kamu semua kena akur kepada keputusan parti yang dah tak mahukan MN. Tak payahlah jadi utusan tak rasmi atau pencacai haram nak berunding dengan PAS atau nak minta parti terima cadangan PAS untuk bincang tentang strategi 1 lawan 1 di 27 kerusi.

“Biarlah PAS berapa kali pun dan nak beri beribu cadangan pun, biar PAS dengan cara mereka dan kita orang UMNO dengan cara kita. Alangkah baiknya kamu semua kembali kepada perjuangan parti dan jangan jadi talam dua muka demi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button