Berita Utama

GTA gerak berasingan pada PRU15: Tun M

Tak bekerjasama dengan parti terlibat rasuah, diri kerajaan pintu belakang

SERDANG, 20 Safar 1444H, Jumaat – Gerakan Tanah Air (GTA) akan bergerak berasingan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata GTA juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang terlibat rasuah ataupun terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

“Kita berasingan. Kita telah ada satu gerakan dinamakan Gerakan Tanah Air yang mencantumi parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan daripada ahli akademik dan profesional yang cinta kepada negara.

“…dan mereka ingin berjuang dalam politik untuk kembalikan negara kepada dahulunya yang dikenali sebagai Asian Tiger yang bersih, cekap dan amanah,” katanya pada sidang media semasa hadir di Konvensyen Pejuanita Malaysia di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian ketika ditanya sama ada GTA akan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 nanti.

Pada 30 Ogos lepas, Dr Mahathir berkata GTA terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi PRU15.

Mengenai status pendaftaran GTA kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), beliau berkata perkara itu dijangka diketahui bulan hadapan.

“Kita menunggu bulan depan baru pihak RoS akan putuskan sama ada GTA akan didaftar. Jadi saya harap janganlah didaftarkan sehari sebelum bubar kerajaan supaya kita ada masa untuk menyiapkan GTA untuk PRU15,” katanya.

GTA telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS pada 6 Sept lepas dengan empat parti gabungan di bawahnya iaitu Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri sekiranya GTA menang PRU15, Dr Mahathir berkata setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan namun katanya banyak pihak menggesanya memegang jawatan itu.

Mengulas mengenai Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia perlu diluluskan sebelum PRU15 diadakan bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa hadapan kerana kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas PRU15.

“Kita berhadapan kemungkinan PRU15 diadakan maka terpulang kepada pihak kerajaan putuskan sama ada mereka akan meluluskan bajet dahulu sebelum adakan PRU15 atau adakan PRU15 sebelum (meluluskan) bajet. Kalau adakan PRU15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button