Mat Kilau ditayang di Netflix hari ini sempena Hari Malaysia
Ditayang secara global hari ini manakala di Indonesia pada 14 Oktober

BANGI, 20 Safar 1444H, Jumaat – Rakyat Malaysia boleh menonton Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara di platform penstriman digital Netflix, hari ini.
Tayangan itu dibuat sempena sambutan Hari Malaysia (16 September).
Menurut Netflix, Mat Kilau disiarkan secara global pada hari ini kecuali Indonesia di mana filem tersebut akan dilancarkan pada 14 Oktober depan.
Mat Kilau menyertai hampir 150 filem, siri dan rancangan animasi tempatan dalam koleksi Rekaan Rakyat, yang mana merupakan perayaan beberapa karya terbaik daripada bakat Malaysia.
Antara karya yang tersenarai dalam koleksi Rekaan Rakyat adalah Sangkar, Senario Lang Buana, BoBoiBoy: The Movie, Fly by Night, Maria Mariana II, Jimi Asmara dan banyak lagi.
Filem Mat Kilau yang diarahkan oleh Syamsul Yusof mencipta sejarah apabila menjadi filem dengan jumlah kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman negara.
Terdahulu, Syamsul berkata, Mat Kilau masih ditayangkan di pawagam negara ini dan tidak mustahil ia boleh mencecah kutipan sebanyak RM100 juta.