Berita Utama

PH tubuh jawatankuasa runding dengan MUDA

70 peratus daripada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU14 selesai dirunding

SEREMBAN, 20 Safar 1444H, Jumaat – Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dan menilai kedudukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berhasrat menyertai gabungan parti itu dalam waktu terdekat.

Naib Pengerusi PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rundingan itu sebagai langkah penglibatan dengan MUDA selain menjelaskan parameter yang harus dimaklumkan kepada parti yang berhasrat untuk menyertai PH.

Salahuddin, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut telah dimaklumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam

“Ada ada langkah yang perlu diikuti. PH terbuka dan boleh terima semua permohonan (sertai PH) tetapi ada beberapa tindakan yang harus dilalui dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Amanah Wanita Negara (AWAN) Nasional 2022, di sini, hari ini.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, 70 peratus daripada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU14 telah selesai dirunding antara parti gabungan PH dan rundingan semua kerusi itu dijangka diselesaikan sebelum 30 September ini.

Katanya, parti itu akan menyelesaikan soal calon yang akan bertanding pada PRU15 selewat-lewatnya pertengahan Oktober dan ketika ini 70 peratus telah ditentukan dengan mengambil kira kriteria tertentu termasuk penglibatan dalam parti, komitmen dan kelayakan.

“Mengenai calon wanita pula, saya ada sebut sebelum ini Amanah sasarkan 40 hingga 45 kerusi bagi PRU15 dengan ambil kira kekuatan kita dan AWAN, Pemuda tetap ada kerusi tapi jumlah itu belum dapat dimaklumkan kerana kami masih dalam proses menilai calon,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita AWAN, Aiman Athirah Sabu, berharap kerusi yang mahu ditempatkan calon wanita perlulah di kawasan strategik dan berpotensi menang dengan mengambil kira kelayakan dan pengalaman AWAN.

Konvensyen Nasional 2022 Amanah bermula hari ini hingga Ahad ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button