Berita Utama

Polis tumpaskan ‘Geng San Sentosa’

Ketua dan lima ahli kongsi gelap itu ditahan di beberapa lokasi

KUALA LUMPUR, 19 Safar 1444H, Jumaat – Polis menumpaskan ‘Geng San Sentosa’ apabila ketua dan lima ahli kongsi gelap itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang, antara 17 April hingga 14 Sept lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata pihaknya turut merampas empat pucuk pistol bersama lima butir peluru hidup daripada geng yang aktif dalam kegiatan pemerasan, samun, penjaga premis perlombongan bitcoin haram, curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar Klang, Selangor.

“Ketua kumpulan kongsi gelap ini telah ditahan pada14 Sept bersama seorang lelaki, kedua-duanya warga tempatan, ketika kedua-dua suspek hendak masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna merah di Jalan Raja Musa, Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan lanjut kenderaan tersebut telah menemukan sepucuk pistol jenis revolver ‘single action’ jenama Colt yang disorok di bawah tempat duduk pemandu. Hasil pemeriksaan di rumah suspek di Jalan Bendahara Taman Mewah Ria Klang, Selangor pula menjumpai sebutir peluru hidup jenis 9mm,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noorsiah berkata semakan lanjut mendapati ketua kumpulan itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan kes senjata api serta curi kenderaan dan juga merupakan ‘orang dikehendaki’ berkait kes senjata api di Petaling Jaya, Selangor pada 17 April 2022.

Beliau berkata dua lagi ahli kumpulan tersebut, kedua-duanya lelaki tempatan ditahan pada 17 April lepas di Petaling Jaya serta merampas sepucuk pistol, manakala seorang lagi juga lelaki ditahan pada 15 Jun di Taman Sentosa, Klang dan merampas sepucuk pistol jenis revolver.

“Seorang lagi lelaki warga tempatan ditangkap di kawasan Butterworth, Pulau Pinang dan polis turut merampas sepucuk pistol berserta empat butir peluru hidup pada 13 Sept,” katanya.

Beliau berkata kesemua senjata api itu tidak berlesen dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan juga hukuman sebat tidak kurang daripada tiga kali dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun.

“PDRM menyeru agar masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang, dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button