Ratu Elizabeth II mangkat: Perak kibar bendera separuh tiang
Tanda hargai hubungan Ratu dengan istana, negeri

BANGI, 20 Safar 1444H, Jumaat – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang selama tiga hari atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, baginda bertitah sedemikian sebagai tanda menghargai hubungan Ratu Elizabeth II dengan istana dan negeri itu.
“Atas semangat menghargai hubungan baik dengan istana dan negeri Perak, Sultan Perak telah menitahkan bendera negeri dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.
“Titah itu juga adalah sebagai tanda menzahirkan rasa dukacita atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
“Menjunjung titah tersebut, bendera negeri hendaklah dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu, 17 September sehingga selesai istiadat permakaman pada Isnin, 19 September 2022,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun pada 9 September lalu seperti diumumkan Istana Buckingham.