Berita Utama

KPM cari jalan penyelesaian isu murid tiada dokumen warganegara

Beberapa cadangan dikemukakan berkaitan keperluan dokumentasi

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan pertemuan dengan keluarga murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pertemuan yang diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember lepas itu bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

“Pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah. Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” menurut kenyataan itu.

KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara selain selari dengan agenda pendidikan manusiawi iaitu memastikan tiada murid yang tercicir.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai tidak dapat meneruskan darjah empat pada Mac ini kerana isu dokumentasi kewarganegaraan berikutan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Murid itu sebelum ini bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang dan disebabkan tidak mempunyai kewarganegaraan, keluarganya perlu membayar RM120 setiap tahun untuk bersekolah, namun pihak sekolah memberitahu kanak-kanak itu tidak dapat meneruskan persekolahan pada sesi pembukaan sekolah Mac ini disebabkan oleh dasar baharu KPM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button