Berita Utama

Tun M akui ramai suruh jadi PM lagi

Bajet 2023 perlu diluluskan sebelum PRU15 elak timbul permasalahan

BANGI, 20 Safar 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ramai pihak yang tampil menyuruhnya kembali memegang jawatan perdana menteri kali ketiga sekiranya gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpinnya menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu bagaimanapun berkata, beliau tidak bersedia berhubung perkara itu buat masa kini.

“Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh, …waktu ini (saya) tidak buat keputusan apa-apa, saya tidak tolak dan tidak terima,” katanya.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia perlu diluluskan sebelum PRU15 diadakan.

Tindakan itu, katanya perlu bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa hadapan kerana kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas PRU15.

“Kita berhadapan kemungkinan PRU15 diadakan maka terpulang kepada pihak kerajaan putuskan sama ada mereka akan meluluskan bajet dahulu sebelum adakan PRU15 atau adakan PRU15 sebelum (meluluskan) bajet. Kalau adakan PRU15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.

Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober, selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button