Zuraida sangkal dakwaan BN tolak permohonan PBM
Tidak timbul isu 'ditolak', perbincangan masih berjalan

BANGI, 20 Safar 1444H, Jumaat – Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan perbincangan berhubung penyertaan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) masih berjalan.
Beliau berkata, khabar angin berhubung penolakan PBM dalam gabungan politik itu tiada dalam pengetahuannya setakat ini.
“Tidak timbul isu ‘ditolak’. Tidak ada dalam rekod saya dan saya tidak tahu.
“Perbincangan berjalan dengan baik dan positif. Jadi, saya bekerja untuk perkukuhkan parti. Itu lebih penting,” katanya seperti dipetik portal media tempatan.
Sebelum ini, media melaporkan, permohonan PBM untuk menyertai BN masih tergantung meskipun telah menyerahkan borang permohonan.
Pada masa sama, beberapa pemimpin BN dan UMNO turut bersuara menolak penyertaan PBM ke dalam gabungan berkenaan.
Antara menolak adalah UMNO Bahagian Ampang atas alasan mereka tidak mahu ahli parti yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam hala tuju politik.
Dalam pada itu, Zuraida yakin rakyat dapat menerima PBM sekali gus memenangi kerusi-kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
“Insya-Allah, boleh menang tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri,” katanya.