Berita Utama

Pemartabatan sejarah perlu dasar pendidikan jelas

Pengabaian subjek sejarah, arkeologi amat bahaya bagi generasi akan datang

SEREMBAN, 19 Muharram 1444H, Rabu – Usaha memartabatkan sejarah tempatan memerlukan dasar pendidikan yang jelas supaya dapat dihayati generasi akan datang, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, pengiktirafan untuk lebih ramai ilmuan sejarah dan arkeologi juga amat penting dalam pemuliharaan warisan sejarah dan budaya bangsa di negara ini supaya ia terus diperkasa.

“Ini bermakna kita harus menambah biasiswa dan latihan bagi menarik minat pelajar dalam bidang tersebut, apabila kepakaran bertambah dalam dua bidang ini, barulah corak pendidikan melalui sejarah akan meningkat.

“Pengabaian subjek sejarah dan arkeologi amat bahaya bagi generasi akan datang jika pengajaran sejarah itu berbaur prasangka atau prejudis,” katanya ketika berucap pada Seminar Polemik Sejarah Negeri Sembilan bertemakan ‘Perkembangan Pensejarahan Negeri Sembilan’.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rais yang memberi contoh Negeri Sembilan berkata, pemahaman mengenai Adat Perpatih dan susur-galur adat itu amat penting dijelaskan dalam pendidikan.

Katanya kebijaksanaan, keindahan hidup tradisi di negeri Adat Perpatih itu harus dipupuk semula dengan peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertuan Besar, Ketua-Ketua Adat serta kerajaan negeri.

“Kalau tidak diperkasakan daripada sekarang, dalam satu dekad masyarakat tidak kenal apa itu adat dan mereka akan mula mempersoalkan kedudukan adat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button