Berita UtamaIstimewa

Pertikai kedudukan IMAN dalam GTA, Presiden Makkal Sakti kebudak-budakan

Dakwa Tun M asal Kerala tonjol ketidakbijaksanaan Thanenthiran

BANGI, 21 Safar 1444H, Sabtu – Kenyataan Datuk Seri R S Thanenthiran mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai kaitan dengan Kerala, justeru ‘menerima’ Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) sebagai parti komponen Gerakan Tanah Air (GTA) disifatkan kebudak-budakan.

Sebelum ini, Presiden Parti Makkal Sakti itu mempertikaikan pembabitan IMAN dalam GTA yang memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

“Dia (Dr Mahathir) kata menyatukan Melayu. Tapi dalam itu (GTA) ada IMAN. IMAN itu India muslim. India muslim bukan Melayu. Mungkin dia nak menyamakan… Dia ini Keralakan, Tun Mahathir? Saya pun tidak tahu. Kalau Melayu biarlah Melayu tulen,” katanya.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung IMAN, Dr Amir Hamzah Abdul Rajak menegaskan, kenyataan Thanenthiran bukan sahaja kebudak-budakan bahkan menunjukkan ketidakbijaksanaan Presiden Parti Makkal Sakti itu.

Tegasnya, Thanenthiran tidak faham mengenai kewujudan GTA yang mendukung prinsip membela Melayu Islam.

Atas dasar itu, beliau menyarankan Thanenthiran berjumpa dengan pihak GTA untuk mendapatkan penjelasan.

“Nak kata GTA Gerakan Bawah Tanah, Gerakan Orang Tua, itu satu lagi kenyataan yang saya rasa biadab dan tidak harus dikeluarkan. Beliau patut melihat kepada diri dan parti sendiri.

“Kalau beliau nak tunjukkan kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) tidak apa, teruskan, beliau boleh tunjukkan kesetiaan kepada BN. Tapi janganlah keluarkan kenyataan kebudak-budakan seperti ini yang tidak masuk akal pun.

“Nak kata Tun Mahathir daripada Kerala sebab itu mungkin terima India muslim apa cerita ini,” katanya kepada Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Amir turut membidas dakwaan Thanenthiran bahawa Dr Mahathir memecahbelahkan masyarakat Melayu.

“Apa yang beliau buat pun sama juga memecahbelahkan masyarakat India.

“Dan sampai hari ini Parti Makkal Sakti tidak dapat pun menjadi parti komponen BN, sebab dihalang parti satu lagi untuk menjadi komponen.

“Ini sama-sama mereka pun majoriti India Hindu tak boleh capai kata sepakat, cerita tentang parti, gerakan lain buat apa? Sekurang-kurangnya IMAN parti komponen dalam GTA mempunyai hak-hak yang sama rata dengan parti-parti lain,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button