Berita Utama

Dewan Ulama PAS Pusat gesa rakyat tolak PH pada PRU15

Pemerintahan PH jadi lubuk pengaruh golongan liberal, sekular bertapak

BANGI, 21 Safar 1444H, Sabtu – Dewan Ulama PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menggesa perkara itu, ketuanya, Senator Datuk Ahmad Yahya berkata, kegagalan pemerintahan PH sepanjang 22 bulan pasca PRU14 jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kredibiliti untuk mentadbir kerajaan Persekutuan mahupun negeri. 

“PH telah membelakangkan janji manifesto yang dikemukakan kepada rakyat dalam pilihan raya dengan alasan manifesto bukanlah sebuah ‘kitab suci’. 

“Lebih malang lagi, pemerintahan PH juga menjadi lubuk kepada pengaruh golongan liberal dan sekular bertapak seterusnya mendorong penggubalan dasar-dasar negara yang tempang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ahmad mendakwa, meskipun PH cuba menampilkan imej pentadbiran yang bersih, namun ironinya mereka sanggup merelakan pemimpin yang didakwa dengan kes rasuah dan salah laku supaya dihentikan dakwaan di mahkamah dengan proses representasi. 

“Ia tidak membaiki keadaan malah semakin meruncing ibarat tikus membaiki labu,” katanya.

Justeru, Dewan Ulama PAS Pusat berpandangan sudah tiba masanya rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada gagasan Penyatuan Ummah yang mengutamakan prinsip bersatu padu dalam kalangan rakyat selain teguh mempertahankan nilai agama, budaya dan warisan sejarah dalam negara ini. 

Beliau berkata, Dewan Ulama PAS Pusat yakin bahawa gagasan Penyatuan Ummah adalah jawapan kepada kegagalan PH 22 bulan. 

“Sesungguhnya budaya bawaan PH tidak sesuai kepada rakyat Malaysia yang inginkan kestabilan dan kesejahteraan. Kita tidak rela pisang berbuah dua kali. 

“Oleh itu, tiada lagi kata dua. Kuburkan PH dan berikan mandat kepada gagasan Penyatuan Ummah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button