Berita Utama

ISMA serah sumbangan RM30,000 kepada anak yatim mangsa COVID-19

Kutipan Tabung Anak Yatim COVID-19 hasil sumbangan korporat, syarikat swasta dan individu

JOHOR BAHRU, 21 Safar 1444H, Sabtu – Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), hari ini menyerahkan sumbangan kepada lapan daripada 22 anak-anak yang kehilangan orang tua berikutan wabak COVID-19.

Ketua BKM ISMA, Hajah Asma Ahmad berkata, sumbangan yang diserahkan di Johor Bahru ini diberikan kepada seorang pelajar sekolah menengah, empat pelajar sekolah rendah dan tiga lagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Beliau berkata, sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM4,000 bagi perbelanjaan duit poket harian persekolahan anak-anak untuk tempoh setengah tahun kedua sesi persekolahan 2022/23 dan juga perbelanjaan kos sara hidup. 

Katanya, sumbangan pertama telah diagihkan pada Mac lalu untuk setengah tahun pertama persekolahan.

“Selain sumbangan wang tunai, anak-anak ini juga ditaja untuk mengikuti program-program pembangunan sahsiah dan jati diri yang dianjurkan secara berkala oleh Biro Keluarga dan Masyarakat di bawah Kelab Anak-Anak Hebat Nazim.

“Setakat ini sebanyak RM30,000 telah diagihkan kepada 22 orang anak yatim bagi menampung perbelanjaan persekolahan dan sara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajah Asma memaklumkan, sumbangan ini adalah daripada kutipan Tabung Anak Yatim COVID-19, yang telah dilancarkan pada November lalu.

Beliau berkata, objektif utama mewujudkan tabung ini adalah bagi memberi bantuan kewangan kepada kanak-kanak ini untuk meneruskan persekolahan sehingga berumur 17 tahun, meringankan kos sara hidup anak-anak yatim dan memberi sokongan emosi serta semangat kepada mereka melalui program motivasi secara berkala.

Ini supaya kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ISMA juga akan menambah lagi bilangan anak-anak yatim COVID-19 untuk ditaja bagi membantu mereka menerusi bantuan perbelanjaan persekolahan dan sara hidup.

“ISMA turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada badan korporat, syarikat swasta atau individu yang telah menyumbang ke tabung ini bagi menjayakan projek ini yang julung kali diadakan.

“Ini sebagai salah satu usaha ISMA selaku gerakan Islam yang mahu menyuburkan budaya takaful dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button