Berita Utama

Ketua-ketua Pemuda BN nyata sokongan kepada pimpinan Ismail Sabri

'Kita percaya dan yakin usaha dibuat oleh kerajaan hari ini'

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1444H, Sabtu – Ketua-Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) menzahirkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Mohd Shukor berkata seluruh kepimpinan sayap dan akar umbi terus menyokong Ismail Sabri serta Ahmad Zahid untuk menerajui pucuk pimpinan.

“Ketua-Ketua Pemuda bukan sahaja daripada UMNO tetapi BN dan kepimpinan dari seluruh negara menzahirkan secara jelas, yang pertamanya sokongan 100 peratus kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Keluarga Malaysia untuk meneruskan kesinambungan yang ada.

“Kita percaya dan yakin usaha yang dibuat oleh kerajaan hari ini adalah usaha yang baik untuk rakyat.

“Yang kedua, kami menzahirkan kepimpinan parti yang diterajui Ahmad Zahid sebagai antara peneraju terbaik bersama dengan Perdana Menteri untuk memikirkan perkara-perkara yang terbaik bagi rakyat,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Amin juga berkata sebarang anasir dan dakyah yang boleh menjatuhkan pucuk pimpinan perlu ditolak bagi memastikan keharmonian parti dan kesejahteraan rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button