Uncategorized

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah cadang Mahkamah Anti Rasuah diwujudkan

Babit hakim ada kepakaran yang tak boleh ditukar ganti sewenangnya

BANGI, 6 Muharram 1444H, Khamis – Mahkamah Anti Rasuah wajar diwujudkan di negara ini dalam usaha meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras jenayah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Mahkamah Anti Rasuah perlu diwujudkan di semua peringkat penghakiman iaitu daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Penubuhan institusi itu juga perlu membabitkan hakim berkepakaran jenayah rasuah yang tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.

“Dengan hakim-hakim kepakaran tidak ditukar ganti mengikut musim akan memberi satu suasana ketetapan, kepakaran juga kejituan mahkamah itu khusus mengenai rasuah,” katanya.

Beliau menjelaskan cadangan mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah bersesuaian dengan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara yang terus jatuh ke tangga 62.

“Justeru perkara berkenaan perlu diambil kira. Kami telah kemukakan dan ini merupakan salah satu cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Rais menyerahkan Buku Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKMR) tahun 2020 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penyerahan buku laporan tersebut selaras dengan Seksyen 14 (5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan JKMR perlu menyediakan dan menyerahkan laporan tahunan mengenai penunaian fungsi Jawatankuasa Khas kepada Perdana Menteri.

Tambahnya, antara isu lain yang dibangkitkan pihaknya berkaitan penyerahan laporan berkenaan agar prosedur dan jaminan penyimpanan barang kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diurus tadbir dan disimpan oleh Bank Negara atau bank bertauliah bagi tujuan mengelakkan barang kes hilang atau dicuri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button