Pendapat

Perbanyakkan zikir Ya Zal Jalal

Amalkan seperti mana diperintahkan oleh Rasulullah SAW

1. DALAM sebuah hadis, Rasulullah ﷺ menggalakkan kita agar memperbanyakkan menyebut nama Allah yang mulia iaitu Ya Zal Jalali wal Ikram. Perkara ini disampaikan dalam sabda Baginda yang mengungkapkan:

ألِظُّوا بـ: “يا ذا الجلال والإكرام

“Perbanyakkanlah menyebut : Ya Zal Jalali wal Ikram” (HR al-Tirmizi)

2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Munawi menjelaskan bahawa bahawa lafaz ini hendaklah disebutkan secara banyak kali di dalam doa kita. Kata al-Munawi:

دوموا على قولكم ذلك في دعائكم ، واجعلوه هِجِّيراكم ، لئلا تركنوا ، أو تطمئنوا لغيره

“Sentiasalah kamu menyebut (nama Allah ini) di dalam doa kamu, dan jadikan ia kebiasaanya kamu supaya kamu tidak bergantung atau tenang dengan yang lain.”

3. Perhatikan perkataan “alizzu” di dalam hadis di atas. Ia dihuraikan oleh al-Munawi sebagai mirip dengan perkataan “alihhu” (dalam riwayat yang dinukilkan oleh Ibn Hajar) di mana perkataan ini lebih menjurus digunakan dalam perihal doa.

4. Atas sebab itu sebahagian ulama hadis meletakkan hadis ini di dalam bab doa. Sebagai contoh al-Imam al-Tirmizi meletakkan hadis ini dalam Bab Doa-doa. Begitu juga dengan al-Imam al-Nawawi.

5. Mengapa kita digalakkan menyebut kedua nama Allah ini di dalam doa kita? Ini kerana, kedua nama ini bermaksud Allah yang memiliki Keagungan (Jalal) dan Kemuliaan (Ikram). Allah memiliki segala apa yang dimuka bumi dan Allah sangat mulia dan pemurah dalam melimpahkan nikmatNya kepada hambaNya.

6. Perhatikan dipenghujung Surah al-Rahman, Allah menutup Surah tersebut dengan sebutan nama Zal Jalali wal Ikram ini. Firman Allah:

تَبَارَكَ اسْمُ رَبِّكَ ذِي الْجَلالِ وَالإكْرَامِ

“Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran (Keagungan) dan Kemuliaan.” (Surah al-Rahman: 78)

7. Dalam Surah al-Rahman, Allah menghitung dan menyebut satu-persatu nikmat yang telah Dia kurniakan kepada hambaNya. Sebagai penutup, kesemua nikmat ini disudahi dengan sebutan nama ini. Seolah-olah dengan kita menyebut nama Allah Yang Maha Mulia ini, kita memohon dengan sifatnya yang Agung dan Mulia agar memperkenankan permintaan kita dan memberikan kita limpahan nikmat sepertimana nikmat yang banyak yang telah Allah berikan kepada hambaNya seperti yang disebutkan dalam Surah al-Rahman itu.

8. Oleh yang demikian, perbanyakkan menyebut Ya Zal Jalali wal Ikram dalam doa kita. Amalkan seperti mana yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button