Berita Utama

Tun M terkeliru ‘kafirkan’ PAS

Kerjasama PAS bersama parti lain bukan sebab mahu berkuasa

BANGI, 21 Safar 1444H, Sabtu – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad terkeliru apabila melabelkan PAS sebagai parti kafir.

Ia berikutan parti politik itu menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Semalam, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, hingga kini PAS tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

“Parti PAS ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu PAS kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.

“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran PAS, PAS sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama PAS itu adalah kafir,” kata Dr Mahathir.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, sebelum ini, bekas perdana menteri itu pernah menyatakan ada pihak mengkafirkan orang, namun sebaliknya yang diujarkan semalam.

Katanya, kerjasama PAS bersama parti lain bukan sebab mahu berkuasa sebaliknya untuk kepentingan rakyat.

“Setiap parti yang bertanding mempunyai matlamat untuk menang sekali gus membentuk kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan sama ada secara sendiri ataupun berkongsi kuasa.

“PAS pun mahu kuasa, kalau masuk pilihan raya untuk kalah, itu adalah parti ataupun individu yang tidak begitu waras kerana saja-saja nak masuk pilihan raya,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pun begitu, Takiyuddin memaklumkan menghormati Dr Mahathir kerana pemimpin itu mempunyai wawasan dan banyak membantu memajukan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button