Berita Utama

Wanita direman tujuh hari bantu siasatan dera anak

Susulan laporan polis oleh bekas suaminya pada 10 Mac lalu

KOTA BHARU, 21 Safar 1444H, Sabtu – Seorang wanita ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia lapan tahun, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, berkata wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kok Lanas, di sini, semalam, susulan laporan polis oleh bekas suaminya pada 10 Mac lalu.

Beliau berkata, pada Mac lalu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah dihubungi teman lelaki bekas isterinya, memaklumkan bahawa anak lelaki pengadu (mangsa) telah dipukul oleh ibunya.

Difahamkan bapa mangsa telah menerima satu video daripada teman lelaki bekas isterinya yang memaparkan mangsa dipukul termasuk dilempar meja oleh ibu kandungnya.

Selepas membuat laporan polis namun pada tempoh yang sama pengadu cuba menyelesaikan perkara itu dengan bekas isterinya, katanya.

“Sebelum ini pengadu bersama bekas isterinya dan dua anak mereka tinggal di Tampin, Negeri Sembilan, namun selepas bercerai pada 2020, suspek dan mangsa tinggal di Kota Bharu, manakala seorang anak perempuan mereka tinggal bersama pengadu.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan menerima rawatan sebagai pesakit luar dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button