Berita UtamaDunia

Kazakhstan lanjutkan mandat presiden satu penggal kepada 7 tahun

Tokayev tandatangan RUU kembalikan nama Astana sebagai ibu negara

ASTANA, 22 Safar 1444H, Ahad – Presiden Kazakhstan menandatangani undang-undang yang mengehadkan tempoh jawatan presiden, termasuk mengembalikan nama lama ibu kota negara Asia Tengah itu.

Presiden Kassym-Jomart Tokayev menandatangani rang undang-undang pada Sabtu, melanjutkan mandat presiden satu penggal kepada tujuh tahun – sebelum ini lima tahun – dan menghalang mana-mana presiden bertanding untuk penggal kedua jawatan tersebut.

Parlimen Kazakhstan sebulat suara menyokong pindaan itu dalam dua bacaan pada hari Jumaat.

Rang undang-undang itu juga mengembalikan nama ibu kota kepada Astana. 

Nama itu ditukar kepada Nur-Sultan pada Mac 2019, sebagai penghormatan kepada Presiden Nursultan Nazarbayev.

Perubahan itu berkuat kuasa serta-merta, menurut dekri di laman web presiden.

Astana menjadi ibu negara Kazakhstan pada 1997 apabila Nazarbayev, yang memimpin negara itu selama tiga dekad di bawah Kesatuan Soviet dan selepas ia mencapai kemerdekaan pada 1991, memindahkannya ke sana dari Almaty.

Selepas beliau berundur pada 2019, penggantinya Tokayev memutuskan untuk menamakannya Nur-Sultan – sebagai penghormatan kepada Nazarbayev, yang mengekalkan pengaruh besar sebagai ketua parti pemerintah dan majlis keselamatan negara itu.

Tetapi Tokayev menyingkirkan Nazarbayev daripada jawatan tersebut selepas pergolakan maut pada Januari yang sebahagiannya bergantung pada rasa tidak puas hati dengan kuasa yang masih dipegang Nazarbayev, dan mengumumkan pembaharuan menyeluruh.

Sejak Tokayev mengambil alih jawatan presiden daripada Nazarbayev pada 2019, beliau secara beransur-ansur menjauhkan dirinya daripada lelaki yang memerintah negara kaya tenaga itu secara kuku besi.

Tokayev telah melancarkan pembaharuan dan menyeru ‘standard yang baharu untuk sistem politik secara adil dan terbuka’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button