Berita Utama

Polis kesan pemandu Perodua Axia lawan arus di BKE

Sedang teliti rakaman CCTV di kawasan kejadian

BUTTERWORTH, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Polis sedang mengesan seorang pemandu Perodua Axia yang didapati memandu secara melawan arus di Kilometer 4.8 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di Seberang Jaya di sini seperti video tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu, namun polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

“Dalam kejadian itu, tiada kemalangan dilaporkan berlaku namun tindakan pemandu tersebut mengundang kemarahan pengguna jalan raya lain dan ia dapat dilihat apabila mereka membunyikan hon terhadap pemandu kereta terbabit atas tindakan berbahaya berkenaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu video berdurasi 51 saat itu memaparkan kereta berwarna kelabu berkenaan dipandu secara melawan arus di lorong paling kanan di laluan ke arah Butterworth sehingga beberapa kenderaan cuba mengelak kereta tersebut yang dipercayai dipandu dengan kelajuan sederhana. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button