Kementerian Pembangunan Wanita patut lebih profesional
Patut tampilkan ikon wanita marhaen yang berjaya bangkit dari kesusahan

BANGI, 22 Safar 1444H, Ahad – Pemudi BERJASA menyelar video kontroversi mempromosi ‘Program Keusahawanan Wanita Bangkit’ yang dimuat naik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di media sosialnya baru-baru ini.
Meskipun sudah diberi penjelasan, video itu tetap dilihat tidak sensitif dan mengundang kepada pelbagai persepsi negatif terhadap golongan wanita.
Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajiain berkata, video tersebut seolah-olah membawa mesej utama yang salah dan mempunyai elemen keganasan rumah tangga.
“Dialog spontan digunakan sangatlah tidak tepat bahkan boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada cara fikir anak bangsa kita.
“Pemudi BERJASA menggesa kementerian terbabit mengambil langkah penuh berhati-hati dalam meluluskan apa-apa bentuk penerbitan dan promosi supaya imej kementerian sebagai sistem sokongan asas.
“… dan yang paling diharapkan golongan rentan ini mendapat kepercayaan penuh untuk membawa isu-isu mereka ke hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azliza menegaskan bahawa kementerian itu sepatutnya perlu lebih profesional dalam memberikan motivasi kepada wanita.
Misalnya, membawa ikon-ikon wanita marhaen yang berjaya bangkit setelah badai yang melanda dalam mempromosikan inisiatif Wanita Bangkit.
“Pemilihan ikon, orang berpengaruh atau muka hadapan aktiviti agensi kerajaan juga perlulah disaring dan ditapis secara kritikal serta bertepatan dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Kementerian jangan lupa peribahasa ‘ada kerak adalah nasi’,” katanya.
Dalam video klip yang dimuat naik Rina, pelakon Rosyam Nor tampil memberikan kata-kata yang dianggap sebagai memperlekehkan perempuan.
Rosyam berkata, wanita “sentiasa bangun lambat” dan bahawa “aku nak belasah kepala korang”, manakala Rina hanya tersenyum melihat gelagat pelakon itu.
Kesal dengan kandungan video itu, ramai pihak menyifatkan ia sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak kurang juga menuntut agar Rina dilucutkan daripada jawatannya sebagai menteri.
Sebaliknya, Rosyam meminta supaya dilihat dari sudut positif iaitu untuk memberi semangat dan kesedaran supaya golongan wanita bangkit memajukan diri masing-masing.