Berita Utama

Pemimpin GTA bersih jenayah, ideologi cinta negara bangsa

Calon GTA akan terdiri daripada ahli NGO, akademik, parti politik

BANGI, 22 Safar 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) mewakili mereka yang cintakan negara bangsa dan kecewa dengan keadaan politik di Malaysia.

Justeru,  dalam GTA – digabung satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang serta kemajuan negara.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, pemimpin dan ahli GTA bersih daripada segala jenayah serta tidak berkepentingan peribadi.

“Dengan menggembleng rakyat yang cintakan negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain dari parti politik biasa.

“Terdapat dalam GTA semua rakyat dari semua lapisan. Akan ada NGO, badan-badan sosial dan individu patriotik, para akademik dan profesional.

“Tidak ada ideologi bagi mereka selain dari cinta pada negara bangsa. Beberapa parti politik turut bersama dalam GTA dan mengetepikan perjuangan untuk parti sendiri,” katanya.

Dr Mahathir turut mengesahkan bahawa calon-calon GTA akan terdiri daripada ahli NGO, tokoh akademik dan profesional serta parti politik.

“Dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendiri kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, kepada Perlembagaan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Pemimpin berusia 97 tahun itu berkata, berdasarkan perkembangan politik semasa, pihaknya mendapati tiada satu parti yang memenuhi kehendak negara.

“Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasil kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.

“Kecewa dengan keadaan politik dalam negara ramai dari mereka memilih untuk mengasingkan diri dari politik,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mahathir berkata, keadaan itu menyebabkan ramai yang tidak akan mengundi dan perkara itu memungkinkan parti yang mereka tolak memperoleh kemenangan.

“Antara yang akan menang ialah parti perasuah yang menyogok wang kepada pengundi. Dengan itu negara akan alami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum PRU.

“Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak yang kecewa ini parti politik biasa tidak sesuai. Apa yang diperlukan ialah satu gerakan rakyat yang menyatukan mereka yang tidak berparti,” katanya.

GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu BERJASA, Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Gerakan itu dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button