UMNO yakin PRU15 antara Oktober hingga Disember
Ucapan PM mungkin titik tolak dari rundingan 'Top 5'

PONTIAN, 22 Safar 1444H, Ahad – UMNO percaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam tempoh tiga bulan lagi, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan
“UMNO yakin PRU15 akan diadakan pada Oktober hingga Disember ini. Tetapi kena elak sebelum banjir.
“Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya. Kalau pilihan raya pada November, maknanya kena bubar (Parlimen) Oktober,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian selepas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Ahmad turut mengesahkan pertemuan ‘Top 5’ UMNO pada 30 September ini tetap diadakan seperti dijadualkan.
“Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan ‘Top 5’ secara tidak rasmi.
“Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top 5’ diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.
“‘Top 5’ ini sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media. Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top 5’ di luar,” katanya.
‘Top 5’ UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti, selain Ismail Sabri ialah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid.