Berita UtamaDunia

146 cedera gempa bumi kuat di Taiwan

600 orang terperangkap di kawasan pergunungan

TAIPEI, 23 Safar 1444H, Isnin – Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda tenggara Taiwan pada Ahad menyebabkan gerabak kereta api tergelincir, sebuah kedai serbaneka runtuh dan ratusan orang di jalan pergunungan terperangkap.

Biro cuaca berkata, pusat gempa berada di daerah Taitung dan diikuti gegaran 6.4 magnitud pada petang Sabtu di kawasan yang sama, tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengukur gempa semalam pada magnitud 7.2 dan kedalaman 10 kilommeter (km).

Jabatan bomba Taiwan berkata, seorang maut dan 146 cedera akibat gempa itu.

Kira-kira empat orang diselamatkan dari bangunan yang runtuh di Yuli, manakala tiga orang yang kenderaan mereka jatuh dari jambatan rosak telah diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Sementara itu, Pentadbiran Kereta Api Taiwan berkata, enam gerabak terkeluar dari landasan di stesen Dongli di timur Taiwan selepas sebahagian kanopi platform runtuh.

Lebih 600 orang terperangkap di kawasan pergunungan Chike dan Liushishi, walaupun tiada kecederaan dan penyelamat sedang berusaha untuk membuka semula jalan itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS mengeluarkan amaran untuk Taiwan selepas gegaran itu tetapi kemudiannya menarik balik amaran.

Agensi cuaca Jepun juga menarik balik amaran tsunami untuk sebahagian wilayah Okinawa.

Gempa itu boleh dirasai di seluruh Taiwan, kata biro cuaca.

Bangunan bergegar seketika di ibu kota Taipei dan gegaran susulan terus menggegarkan pulau itu.

Lebih 100 orang terbunuh dalam gempa bumi di selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa 7.3 magnitud membunuh lebih 2,000 orang pada 1999. – Agensi

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/09/18/gempa-bumi-6-8-magnitud-cetus-amaran-tsunami-di-taiwan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button