Berita Utama

Desak percepat PRU15 tonjol gila kuasa BN

Mereka mahu dapat semula kuasa untuk lepaskan kluster mahkamah

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kononnya sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan hujung tahun ini, seolah-olah orang yang hilang kewarasan.

Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, tindakan itu memaparkan sikap sebenar UMNO dan BN dalam menentukan percaturan kuasa di dalam negara dengan mempertaruhkan nyawa rakyat.

“Yang penting mereka ingin mendapatkan semula kuasa memerintah negara untuk melepaskan tengkuk kluster mahkamah di kalangan pimpinan UMNO, bukannya seorang tetapi berjemaah dari kepala sehingga ke ekor.

“Justeru, rakyat Malaysia sepatutnya sudah dapat menilai sikap rakus, terdesak dan gila kuasa UMNO dan BN dalam usaha ingin merampas semula kuasa pemerintahan tanpa sedikit pun rasa bertanggungjawab terhadap nasib rakyat dan kemusnahan negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

“Tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding,” kata Zahid.

Mengulas lanjut, Che Asmah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya mengumumkan tahap kesiapsiagaan negara menghadapi musim banjir dalam masa terdekat, bukannya tarikh pembubaran Parlimen.

Negara sepatutnya mengambil iktibar dari kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan bencana banjir hujung tahun 2021 sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

“Bahkan harta benda jutaan ringgit di mana kesannya masih ada yang belum dapat dipulihkan sepenuhnya sehingga ke hari ini. Apatah lagi bila sudah ada amaran dari Jabatan Meteorologi kemungkinan berlaku banjir besar disebabkan faktor La Nina dan perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

“Dalam situasi ini, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar dengan melengkapkan data-data sumber negara yang diperlukan untuk menggerakkan kerja menyelamat dan pemindahan bagi mengurangkan kesan banjir kepada rakyat.

“Di samping itu kerja-kerja membersihkan saliran parit dan longkang juga sepatutnya digiatkan oleh pihak kerajaan tempatan bagi mengelakkan banjir kilat semasa hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, semua aktiviti kerja tanah dari projek pembangunan perlu dipantau dengan lebih kerap dan tegas.

“Pemantauan dan pemeriksaan ke kawasan-kawasan cerun dan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar perlu dibuat.

“Tahap kesiapsiagaan ini yang perlu diumumkan oleh Perdana Menteri kepada rakyat dalam masa terdekat dan bukannya tarikh pembubaran Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button