Berita Utama

GTA alternatif pengundi tolak parti perasuah

Beri jaminan berlaku adil kepada kaum-kaum lain

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan sekiranya Gerakan Tanah Air (GTA) berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerajaan yang bakal didirikan akan mencerminkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pengerusi Penaja GTA dalam kenyataan hari ini berkata, walaupun keahlian GTA terhad kepada orang Melayu, mereka juga akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain.

Bahkan katanya, GTA ditubuhkan untuk pengundi, terutama Melayu memilih selain dari UMNO serta menolak sogokan oleh perasuah.

“Rakyat Malaysia dikatakan bosan dengan politik. Ramai mereka tidak berminat untuk undi.

“Yang malang ialah apabila mereka tidak mengundi, yang akan mengundi ialah mereka yang disogok oleh perasuah. Kesannya ialah parti perasuah yang akan menang. Parti perasuahlah yang akan diri kerajaan. Dan kerosakan negara akan berterusan.

“Dalam PRN Melaka dan Johor hampir 50 peratus pengundi tidak mengundi. Dengan itu parti BN dengan sokongan hanya 35 peratus dari pengundi menang besar dan diri kerajaan.

“Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata, dengan GTA bertanding rakyat yang bosan dengan politik dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih kerajaan parti Melayu selain dari UMNO.

Katanya, GTA adalah parti Melayu yang terdiri dari ahli politik yang bersih dari jenayah bahkan pemimpin mereka tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara selain mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman.

“Hasrat GTA ialah untuk mendiri kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara.

“Mereka utamakan kepentingan bangsa, negara dan agama,” katanya yang turut meminta pengundi memulihkan negara dan bangsa dari kerosakan kleptokrat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button