Berita Utama

Bajet 2023 bakal bawa kelegaan pada rakyat: Penganalisis

Belanjawan terakhir sebelum PRU15, mahu rakyat sokong penuh aspirasi kerajaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Penganalisis ekonomi melihat Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober besar kemungkinan akan menjadi bajet terbesar dalam sejarah negara.

Prof Madya Dr Abdul Razmen Abdul Latiff berkata, belanjawan kali ini dijangka mampu membawa kelegaan kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. 

“Ini kerana, ia bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sudah pastinya kerajaan mahu memastikan rakyat menyokong sepenuhnya aspirasi kerajaan sedia ada melalui bajet yang populis,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) itu berkata, jangkaan tersebut juga dipengaruhi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin kukuh ketika ini.

“Berdasarkan prestasi semasa harga komoditi terutamanya minyak petroleum yang masih kekal tinggi, di samping pertumbuhan KDNK yang positif untuk separuh tahun pertama 2022, memungkinkan kerajaan untuk berani melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk setiap kumpulan sasaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memastikan Bajet 2023 yang disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, Bajet 2023 juga akan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun depan.

Selain itu, katanya, kerajaan amat prihatin dengan kesulitan dihadapi Keluarga Malaysia dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung khususnya berkaitan kenaikan harga barangan keperluan.

Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.

Ia dijadualkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, selepas diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.

Keputusan mempercepatkan pembentangan belanjawan itu memberi bayangan bahawa pembubaran Parlimen akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button