Eloklah PRU jika PM terus gagal urus ekonomi
12 peratus rakyat ikat perut, tangguh rawatan kerana tiada wang

BANGI, 23 Safar 1444H, Isnin – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah jalan terbaik untuk negara mempunyai sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah
Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau belum sampai ke tahap mahu mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dengan segera, sebagaimana dilakukan Barisan Nasional (BN).
Meskipun begitu, beliau terfikir sekiranya Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, maka seeloknya pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu dapat dipilih rakyat.
Ini kerana, bekas Perdana Menteri kelapan itu menyifatkan Ismail Sabri tidak memandang semua isu berkaitan kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara sebagai suatu yang penting.
“Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.
“Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya telah menyuarakan kebimbangan saya dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan,” katanya.
Beliau turut merujuk laporan kajian Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember 2021 yang mendapati 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari, 12 peratus menangguhkan rawatan perubatan dan 31 peratus lewat membayar hutang serta bil kerana tiada wang.
Katanya, satu kajian lain oleh Mindshare juga menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60) selepas pandemik COVID-19 melanda negara, dan 76 peratus daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
“Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.
“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini,” katanya.
Menurut Muhyiddin, setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif.
“Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.
“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey diluar sana,” katanya.
Beliau berkata, tahun lalu nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion, dan jika nilai ringgit terus merudum, harga barang makanan akan menjadi lebih mahal.
“Is this okay? No, it is not okay. Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting.
“Mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini.
“Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus berpuas hati,” katanya.