Berita Utama

Ketua GLC, GLIC dan ahli badan kehakiman perlu isytihar harta

Mekanisme tingkatkan kredibiliti, integriti kerajaan

PUTRAJAYA, 23 Safar 1444H, Isnin – Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk ahli badan kehakiman perlu mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan, Ahli Parlimen dan Senator oleh SPRM akan diperkasakan bagi meningkatkan kredibiliti dan integriti kerajaan.

Justeru, pindaan dan penambahbaikan terhadap Kod Etika semasa akan dilaksanakan, katanya.

“Kod etika baharu akan diperkenalkan untuk Ahli Parlimen di bawah Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dengan mengambil kira prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan perundangan,” katanya.

Beliau berkata, butiran kod etika baharu itu akan dibentangkan semula oleh SPRM pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pencegahan Rasuah (JKKMAR) akan datang.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan berhubung status terkini Rang Undang-undang Pembiayaan Politik, katanya.

“RUU itu akan dikawal selia oleh entiti bebas di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju bahawa pindaan akan dibuat ke atas Akta Audit 1957 (Akta 62) untuk memperkasakan profesionalisme, dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button